Home > Khutbah > Khutbah – Mei 2008

Khutbah – Mei 2008

TANGGUNGJAWAB MEMBELA ISLAM

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jamaah semua, supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa seperti mana yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali-Imran: Ayat 102) 

Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: Tanggungjawab Membela Islam [1]

Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT

Seorang yang mengakui dirinya sebagai muslim sewajarnya mengambil berat tentang hal-ehwal Islam dengan mempelajari dan beramal dengan Islam serta memelihara dan mempertahankan kesucian agamanya dari dihina dan dikeji oleh orang-orang bukan Islam. Bukan menjadikan agama sebagai adat istiadat atau upacara atau mainan semata-mata dalam kehidupan sebagaimana orang-orang kafir yang mengambil agama mereka sebagai mainan dan hiburan sebagaimana firman Allah SWT, maksudnya:

“(Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan kami.” (Surah al-‘Araaf: Ayat 51)

Kita umat Islam dewasa ini semakin hari tidak lagi digeruni dan ditakuti oleh musuh malah tidak lagi dihormati oleh orang yang bukan Islam. Keadaan ini disebabkan umat Islam pada hari ini lalai daripada mengamalkan Islam serta lebih mementingkan keduniaan sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang maksudnya:

“Dan Allah akan mencabut daripada dada musuh-musuh kamu perasaan takut terhadap kamu dan Allah akan mencampakkan dalam hati-hati kamu perasaan wahn. Sahabat bertanya, “Apakah wahn wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: Cintakan dunia dan takutkan kematian.”

Dalam hadis ini, Nabi SAW menceritakan kepada kita tentang sebab lemahnya umat Islam akhir zaman. Mereka terlalu cintakan dunia sehingga agama mereka diabaikan. Akibatnya, musuh-musuh Islam mengambil peluang melemparkan pelbagai tuduhan yang buruk serta penghinaan terhadap Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian,

Sikap tidak takut musuh-musuh Islam semakin ketara akhir-akhir ini. Umat Islam dituduh dengan tuduhan yang teruk seperti pengganas. Umat Islam dipermainkan, dituduh tanpa bukti, seperti di Iraq, yang mana mereka diserang atas tuduhan memiliki senjata berbahaya sedangkan keadaan bukan sedemikian. Begitu juga di Thailand, umat Islam di sana dibunuh sesuka hati. Malangnya, walaupun kita berjiran dengan mereka, tetapi tidak ada yang mengambil berat, kerana lemahnya kita.

Kita telah melihat sikap biadab yang ditunjukkan oleh musuh-musuh Islam terhadap junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW dan Islam. Sebelum ini, mereka tanpa rasa takut menyiarkan dalam media massa, kartun Nabi SAW dengan imej pengganas. Baru-baru ini, filem Fitna, sebuah filem ringkas ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders, telah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana secara jelas menghina Islam, Nabi Muhammad S.A.W. dan kitab sucinya al-Quran. Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam lamanweb liveleak.com pada 27 Mac lalu telah menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang menggalakkan keganasan. Ia membangkitkan kemarahan umat Islam di serata dunia di timur dan di barat. Tindakan tidak bertanggungjawab ini, hanya mengeruhkan lagi keamanan dunia dan menimbulkan hubungan yang tidak baik antara umat Islam dan bukan Islam. Ternyata benar pembikin filem berkenaan menyimpan kebencian yang amat tinggi terhadap Islam dan umatnya.

Filem ini hanyalah kesinambungan dengan cara menyunting kejadian-kejadian ganas yang dikaitkan dengan orang Islam serta memetik ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan jihad. Petikan ayat-ayat tersebut tanpa memahami latar belakang teks dan isu sebenar yang dijelaskan dalam Al-Quran, membuatkan mereka yang jahil hakikat Islam, merasa adanya hubungkait antara keganasan dan Al-Quran.

Sebenarnya kempen memburukkan wajah Islam dengan melabelkannya sebagai pengganas dan kejam bukan bermula dari filem Fitna tersebut. Media-media barat seperti CNN telah lama melancarkan serangan pemikiran ke atas masyarakat dunia amnya dan masyarakat Barat khususnya demi merosakkan gambaran Islam dalam pemikiran umum.

Musuh-musuh Islam tidak takut kemarahan yang ditunjukkan oleh umat Islam. Ini kerana umat Islam sekarang lemah, dan kita bergantung kepada barat. Amat malang juga bagi kita umat Islam, disebabkan sifat cintakan dunia ini, maka sebahagian kita langsung tidak ambil endah penghinaan tersebut. Sedangkan ada yang mengaku cintakan Nabi SAW, dan sanggup membelanjakan wang yang banyak menyambut hari kelahiran Nabi SAW serta berarak berbatu-batu jauhnya, tetapi tiada apa yang dibuat apabila Nabi SAW dihina sedemikian rupa.

Sidang Jumaat sekalian,

[2] Dalam menghadapi isu filem Fitna, beberapa langkah harus diambil oleh kita selaku muslim yang peka dan prihatin. Kita hendaklah mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Geert Wilders yang menerbitkan filem ‘Fitna’ dan menyiarkan kecaman dan kutukan kita di media massa seperti TV, radio dan internet.

Kita juga perlu menegaskan dan menerangkan bahawa, Islam bukanlah sebuah agama seperti yang digambarkan oleh Geert Wilders dalam filemnya, kepada masyarakat bukan Islam. Sebaliknya Islam dan umatnya sentiasa menghulurkan tangan permuafakatan kepada sesiapa yang menghulur pemuafakatan bersama Islam dan inilah yang diajarkan dalam agama Islam. Allah S.W.T. berfirman di dalam al-Quran, maksudnya:

“Wahai sekelian manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan kami telah menciptakan kamu berbangsa-bangsa  dan berpuak-puak untuk kamu semua saling kenal-mengenal, sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang lebih bertaqwa di kalangan kamu.” (Surah al-Hujurat: Ayat 13)

Kita hendaklah bersama pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain menyeru umat Islam, supaya memboikot semua produk keluaran Belanda sebagai salah satu cara kita menyatakan rasa protes kita terhadap tindakan seorang ahli parlimennya yang bersikap biadab terhadap umat Islam. Kita juga menuntut supaya ahli parlimen tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan Belanda, atau setidak-tidaknya ia hendaklah memohon maaf di atas tindakan tidak bertanggungjawabnya itu. Kita juga mengesa agar kerajaan Malaysia menyatakan bantahan dengan lebih jelas terhadap isu filem Fitna ini yang amat melukakan hati kita, umat Islam di Malaysia.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Rentetan isu penghinaan terhadap Islam seperti ini, menuntut kita, umat Islam, supaya memainkan peranan kita dengan lebih aktif membuat penerangan dan penjelasan, seterusnya bertanggungjawab memperbanyakkan terbitan filem dan program yang menggambarkan ajaran Islam yang sebenarnya kepada masyarakat dunia. 

Akhir sekali, kita sebagai umat Islam hendaklah berbangga dengan agama kita. Janganlah kita malu untuk melaksanakan tuntutan agama kita dalam kehidupan seharian kita, baik dari segi ibadah, akhlak serta pergaulan seharian kita. Dengan yang demikian, akan menjadikan kita umat yang kuat. Kembalilah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di dunia ini, bukan ditindas dan dipandang rendah. Marilah kita sama-sama merenung kata-kata Umar al-Khattab sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sanad yang sahih yang maksudnya:

“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, kemudian Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya (iaitu Islam), maka kita akan dihina oleh Allah.”
——————————————————————————–

[1] Disesuaikan dari khutbah Jabatan Mufti Negeri Perlis, TANGGUNGJAWAB MEMBELA ISLAM, 25 Rabiulakhir 1429H  / 2 Mei 2008M, http://pejabat-mufti-perlis.com/v01/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=77.

[2] Disesuaikan dari tulisan Ustaz Abd. Rasyid Bin Idris, Presiden Institut Al-Qayyim.

 

Categories: Khutbah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: